Rabun Kanak-kanak, Jangan Ambil Mudah

Pemakaian cermin mata dikalangan bayi dan kanak-kanak bukan lah perkara yang baru malah mereka  memerlukan cermin mata untuk membaiki rabun jauh, rabun dekat, astigmatism atau bagi sesetengah kes juling. Dengan pemakaian cermin mata juga dapat mengelakkan daripada penglihatan menjadi lebih teruk serta mata malas.

Kanak-kanak boleh mula memakai cermin mata seawal usia 1 tahun bagi perkembangan bola mata yang sihat, imej yang jelas perlu terbentuk di retina mata.

Semenjak perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu, selain banyak meluangkan masa di rumah, golongan kanak-kanak juga terkesan dengan keadaan ini apabila segelintir daripada mereka hanya meluangkan masa dengan menumpukan perhatian terhadap gajet sekaligus menimbulkan kebimbangan terhadap ibu bapa. Di sini disertakan beberapa langkah penjagaan mata untuk anak-anak anda.

Antara langkah yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa adalah:

  • Jika anak anda telah memakai cermin mata, disarankan sentiasa memeriksa kuasa refraktif cermin mata. Ini kerana terdapat /ramai anak-anak yang mengalami peningkatan kuasa refraktif cermin mata selepas PKP akibat penggunaan gajet yang kerap.
  • Jika anak anda mengadu penglihatan mereka tidak jelas atau selalu berasa pening kepala, sila bawa anak anda untuk jalani pemeriksaan mata. Kemungkinan ia petanda rabun.
  • Jika anak yang masih kecil dan tidak pandai mengadu, kebiasaannya terjadi pada usia dibawah 4 tahun, mereka selalu menelengkan kepala atau memalingkan muka ketika menonton TV. Jika ini berlaku, sila bawa anak anda untuk pemeriksaan segera kerana ia juga petanda rabun.
  • Jika anak ada mengalami masalah juling, sila bawa mereka menjalani pemeriksaan mata bersama pakar. Ini kerana juling adalah satu keadaan mata yang tidak normal kecuali pada bayi dibawah usia 2 bulan. 

Siapakah yang perlu dirujuk untuk jalani pemeriksaan?

  • Jika ia berkaitan peningkatan kuasa refraktif cermin mata, anda boleh berjumpa dengan optometrist bertauliah. Jika kuasa refraktif mata melebihi -2.50 (250) pada kanak-kanak dibawah umur 7 tahun, sebaiknya bawalah mereka untuk berjumpa Pakar Mata Kanak-kanak. Jika terdapat kekangan, anda masih boleh berjumpa dengan Pakar Mata Umum.

Apabila anak-anak bersekolah dengan penjarakan sosial, terdapat besar kemungkinan jarak meja dengan kedudukan papan putih akan menjadi lebih jauh. Jika rabun, ia pasti menyukarkan anak-anak anda untuk melihat.

Apa yang membimbangkan pada masa ini adalah terdapat penambahan bilangan pesakit kanak-kanak yang rabun serta juling selepas PKP.

 

Nota Penting:

Tiada istilah juling air, juling itik, juling ular yang comel.

Sila bawa anak anda jalani pemeriksaan dengan segera!