Pengsan Tanda Isyarat Badan

Apa itu pengsan (syncope)?
Pengsan atau syncope terjadi apabila seseorang itu hilang kesedaran tahap separa atau penuh disebabkan oleh penyusutan sementara bekalan darah beroksigen ke otak.

Apa yang menyebabkan pengsan? Pengsan mungkin diakibatkan oleh:

  • Terdedah kepada panas yang melampau
  • Lapar yang melampau
  • Tekanan emosi
  • Keletihan dan ketakutan yang melampau
  • Dehidrasi

Penyakit seperti: 

  • Tekanan darah tiba-tiba menurun (hypotension)
  • Anemia
  • Degupan jantung tidak menentu
  • Serangan penyakit di otak
  • Serangan Migrain

Tanda dan Gejala

  • Pucat
  • Denyutan nadi cepat
  • Berpeluh sejuk
  • Rasa loya
  • Kepala rasa berpusing
  • Pendengaran menjadi kurang jelas atau penglihatan menjadi kabur

Rawatan Segera Jika Seseorang Pengsan:

  • Jika seseorang merasakan seperti hendak pengsan, mereka perlu duduk serta-merta dan membengkokkan badan dengan meletakkan kepala mereka di antara lutut atau baring.
  • Sekiranya pernafasan dan kadar denyutan nadi didapati biasa, biarkan ia terus baring di atas tanah atau lantai dengan kepala mereka ke bawah dan mengiring ke satu sisi dalam keadaan selesa.
  • Meninggikan kedua-dua kaki dapat membantu peredaran darah kembali ke jantung.

Ubat-ubatan biasanya tidak diperlukan untuk merawat pengsan tetapi beberapa prosedur perubatan mungkin perlu untuk memastikan tiada masalah jantung yang berkaitan:

  • Elektrokardiogram (ECG) digunakan untuk menguji denyutan jantung yang tidak normal
  •  Ujian lain seperti ujian ‘exercise stress test’, Holter monitor, Echocardiogram, mungkin diperlukan untuk mengesan masalah lain bagi jantung.

Langkah-langkah pencegahan bagi mereka yang kerap pengsan:

  • Jangan melakukan aktiviti fizikal apabila berada dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan.
  • Pastikan cukup udara segar dalam bilik permainan.
  • Elakkan berada dalam keadaan berdiri dan tidak bergerak untuk jangka masa yang lama.
  • Sekiranya dalam rawatan perubatan, pastikan mereka mengambil ubat-ubatan mengikut dos yang disarankan oleh doktor.
  •  

INFO PENTING:
Adalah penting untuk memeriksa kadar denyutan jantung dan pernafasan apabila seseorang itu pengsan. Kebanyakan kejadian pengsan tidak merbahaya, walaubagaimanapun, ia juga berkemungkinan memberi isyarat kepada masalah yang lebih serius. Oleh yang demikian, jika anda mengalami kejadian pengsan, dapatkan nasihat pegawai perubatan dengan segera untuk mengetahui mengapa ianya berlaku.